Wednesday 13 November 2013

Termangu..

Kini aku termangu. Laporan perubatan telah dihantar ke Sosco.  Katanya boleh cclaim duit laporan tu dengan kemukakan resit bayaran dihospital.

Sijil cuti sakit telah dihantar sebanyak 3 kali. Sampai ke hari ni tak terima apa cek pun. Untuk surat cuti ketiga dan keempat mereka dah buat bayaran tapi aku tak terima langsung. Tarikh cek di pos pada 21/88/2013. Bila aku buat semakan mereka kata dah keluar. Tapi aku tak terima apa-apa. Yang pertama dan kedua adalah aku terima tapi yang ketiga dan keempat  tak terima langsung. Aku heran dimana sangkutnya..di pejabat pos kah atau entah dimana..aku tak nak buat spekulasi. Tapi aku khuatir ada posmen yang buang surat2 macam kes2 yang terjadi sebelum ni. Tapi, bil2 dan surat2 biasa aku terima yang dari Socso je aku tak terima. Heran bin Ajaib.

Cek berkenaan hanya sah tempohlakunya selama 3 bulan je.  Kemudian aku hantar lagi sijil cuti sakit yang kelima. Aku tanyakan dikaunter, mereka kata dah keluar semua yang terdahulu tu. Kemudian selepas beberapa lama iaitu selepas cuti aku yang terakhir matang aku pun bertanyakan kedudukan cek seterusnya. Mereka kata sudah dikeluarkan jugak.  Tapi yang herannya aku masih tidak menerima apa2. Pada pendapat koranglah kan kat mana sangkutnya cek tersebut.

Aku perlukan sangat duit tu, sebab ada yang perlu aku bayar sedangkan aku dah tak terima gaji dari tempat kerja dan selepas tu aku berhenti pulak. Jadi banyaklah yang perlu dibayarkan. Kalau takdapat bayangkan lah duit rumah, duit belanja anak di Universiti lagi perlu disediakan. Takkan nak harapkan duit anak aku yang baru kerja tu. Duit isteriku memang susahlah..banyak sangat nak dibayarnya sebab hutang banyak sangat.

Kini aku menunggu cek gantian yang telah memakan masa 3 minggu tak de lagi khabar beritanya.  Itu baru duit  cuti sakit. Kalau pampasan tak taulah..entah ade ke tidak entah rezeki aku.  Aku perlukan duit tu untuk mengambil lesen memandu bas lah pulak..tak kerja berat dan takde angkat2 barang lagi macam kerja memandu lori .

Ubat Hospital...

Masa aku mula-mula diberikan rawatan aku diberikan 3 jenis ubat. Salah satunya ubat tahan sakit. Aku makanlah ubat tu sampai habis. Bila hari aku pergi rawatan susulan di Klinik Pakar Orthopedik tu takde pulak di bagi ubat cuma dia ganti anduh dan bagi cuti sehingga 28/6/2013.

Esoknya aku pergi lah ke klinik swasta untuk mintak ubat. Dapatlah ubat tambahan dan ubat tulah aku makan sampai habis sebab rasa sakit dibahuku masih ada. Aku perlukan ubat untuk menghilangkan rasa sakit dibahu ku ini.

Setiap kali membuat lawatan di klinik pakar takde ubat yang diberikan kecuali bila saya mengadu sakit di tangan yang dipanggil Carpal Tunnel tu. Dapatlah ubat plaster macam salonpas tapi tak berangin, ubat krim tahan sakit dan panadol sepapan. makan bila sakit katanya. Jadi tiap kali bila doktor pakar tu tanya tentang sakit tu dia kata kalau tak baik dia nak operate pulak. Tapi semasa membuat lawatan yang terbaru dan terakhir tu pada 8/11/2013 sakit tu telah beralih ke pergelangan tangan pulak dapatlah lagi ubat yang sama dan katanya kalau habis dan masih sakit sila datang lagi untuk mendapatkannya di farmasi.


Pengunjung Setia Hospital

Bermula dari 8/5/2013 aku menjadi pengunjung setia Hospital Bukit Mertajam terutama Klinik Pakar Orthopedeik dan Klinik Fisioterapi.

Selepas 8/5/2013 aku dikehendaki hadir di Klinik Pakar Orthopedik untuk rujukan Pakar. Setelah membuat pemeriksaan dan ganti kain anduh aku berikan cuti sehingga 19/7/2013. Lama tu. Tapi anduh hospital tu dah aku gantikan dengan anduh yang aku beli di farmasi selesa sikit dan boleh mengampu tanganku pada siku tu sebab kalau tak di ampu rasa macam bahu tu nak tertanggal.

Aku mula mendapatkan rawatan fisioterapi bermula dari 28/6/2013. Kedua-dua lawatan tu aku perlu membayar RM5 setiap kali rawatan. Aku mula diberikan latihan untuk menggerakan bahu ku berperingkat-peringkat  sebab sebelum tu doktor tak bagi aku buat pergerakan kasar-kasar khuatir kecederaan lain pula yang timbul. Sehingga satu masa aku membuat latihan mengangkat besi seberat 1 kilogram dan mengangkatnya persis orang mengangkat berat tangan kiriku pula cedera. Kecederaan yang dipangil Carpal tunnel.  Mulalah tangan kiri ku tu kupakaikan bandage. Kesakitan ku bertambah lah pulak..mana bahu ku belum sembuh tangan ku pulak sakit.. nak pakai baju sakit, nak pakai kain pelikat sakit, nak lap badan dengan towel pun sakit. Kira sakitlah nak buat apepun sehingga tersinggung terlanggar sesuatu pun boleh mendatangkan kesakitan yang amat sangat.

Kekadang isteriku jenis tangan tak dok diam dalam kereta rajin je dia capai tangan aku yang sakit tu semasa aku memandu. Aku menjeritlah betapa sakitnya. Orang yang tak pernah rasa pasti tak dapat rasakan kesakitannya. Nak menghulur sesuatu kepada orang lain pun kena hati-hati jika tidak bila direntap macam tu saja pun sakit.

Maka rawatanku dihospitalku berselang seli antara rawatan bahu dan tangan. Kekadang semasa aku pelu menghadiri rawatan fisioterapi kalau anak aku kerja pagi aku kena hantarkan dia ketempat kerja dulu kemudian baru aku pergi ke hospital. Tu pun dah pukul sepuluh lebih aku sampai. Kalau dia kerja petang aku pergi hospital awal dan selalunya pukul 10.30 dah siap rawatan.

Begitulah rutin aku selama 6 bulan lepas dan terakhir pada 8/11/2013 iaitu cukup 6 bulan aku kecederaan. Selepas itu aku tak perlulah pergi berjumpa dengan doktor pakar orthopedik lagi, dah tamat katanya. Namun, bahu masih sakit sekali sekala dan untuk mengangkat berat aku tak jamin boleh melakukannya kerana nak mengangkat cerek air untuk menjerang air pun masih terasa sakitnya. Baru-baru ni aku nak mendukung kucing aku pun sakit jugak... entahlah..entah2 aku dah cacat lah tak boleh nak buat kerja berat dah.

Namun, fisioterapi masih diteruskan terutama untuk tangan aku yang sakit Carpal Tunnel tu. Tengoklah selepas ni macamana keadaannya.

Tuesday 12 November 2013

Punca kecederaan aku.

Peristiwa ni berlaku pada 8/5/2013 pada jam 4.15 petang. Kejadian berlaku di Pacific Hypermarket Telok Wanjah Alor Setar. Aku parking lori pada jarak selangkah besar dari loading bay. Sebab aku tak boleh nak rapatkan lori aku yang 40 kaki dan seberat 25 tan itu ketepi bay sebab ada pemandu lain yang parking tak betul jadi aku pun parking jelah seberapa yang boleh sebab kepada lori dah tak boleh nak kedepan lagi sebab ada halangan besi oleh pihak bangunan. Loading bay tu pulak tingginya 6 kaki dari tanah dan setinggi 1 kaki dari lantai lori aku.

Untuk melangkah ke bay aku letakkan pelet kayu untuk pembantu aku memijak menghulur kotak-kotak buah kepada aku yang menuggu diatas bay. Baru satu pelet aku dah punggah kotak datanglah pulak pak guard bsembang dengan aku tanya itu dan ini. Aku layan jelah sambil slbuk menyambut kotak2 dan menyusunnya diatas pelet. Dalam sibuk aku menyambut dan berpusing tu aku terpijak tebing bay yang tidak bertepi terus aku jatuh. Tapi aku sempat berpaut pada pagar lori (lori aku jenis dinding kanvas yang boleh ditarik kedepan dan kebelakang bila nak punggah barang dan didalamnya ada pagar yang menghalang dari barang2 dalam lori jatuh keluar). Dalam masa itulah aku tergantung dan aku dapat rasakan sesuatu dibahuku terus rasa sakit.

Cepat2 aku naik ke atas bay dan memegang bahu ku  mereka yang menengok aku beusaha menarik bahu ku untuk membetulkan tanganku. Tapi mereka tak tahu bahawa bahu aku telah tercabut. Aku tak boleh buat apa selain mengampu bahu ku pada peha aku semasa aku duduk bersila. Aku meminta bantuan pengawal keselamatan mengikut tali dari tengkuk ku untuk mengampu siku. Dia ikatlah dengan tali yang digunakan untuk mengikat kotak2 tu. Aku hubungi pejabat dan bagitau keadaan sebenar. Dalam lori ada dua lagi pasaraya yang aku harus hantar iaitu C-Mart Changloon dan C-Mart Arau. Aku mengambil keputusan untuk duduk dalam lori je dan  membiarkan pembantuku warga Myanmar untuk memunggah barang-barang tersebut. Setelah selesai memunggah aku memandu pulang ke Bukit Minyak di Bukit Mertajam dalam keadaan tanganku yang sakit. Aku memandu dengan sebelah tangan, tangan ku yang sakit ku gunakan untuk menekan steering manakala tangan kiriku pula nak digunakan untuk menukar gear. Semasa berhenti di tol Alor Setar Selatan, pembantuku yang turun dari lori ambil kad tol dan membayar duit tol diPlaza Tol Sungai Dua. Agaknya jurutol tu heran mengapa aku sendiri tak bayar. Tapi pembantuku dah bagitau tangan aku patah jatuh kat mereka.

Ak mengharungi perjalanan selama  dua ja setengah untuk sampai di tempat kerja.Aku minta kawan tempat kerja aku hantarkan aku ke Hospital Bukit Mertajam dan aku diberi rawatan segera. Selepas di daftar masuk aku di x-ray, ternyata bahuku telah keluar daari soketnya. "Shoulder dislocate" istilah inggerisnya. Aku dibius sehingga tak sedar apa2. Pihak hospital berusaha memasukkan kembali bahu kedalam soket dan bila selesai aku di x-ray semula. Aku dibiarkan sedar sendiri dan doktor memberitahu semua sudah okay dan dia pun memberikan cuti kepada aku selama 9 hari.

Setelah selesai aku pakai baju tapi tangan ku disangkut pada anduh dan baju ku pakaikan diluar. Baru aku hubungi anak dan isteriku untuk mengambil aku di hospital. Aku tunggu lah tapi perutku lapar nak cari kedai makan memang payah. Aku berjalan dalam satu kilometer ke pekan BM untuk mencari kedai makan. Teringat aku Char Kuey Teow di sebelah Alka Ria. Aku berjalan lah dan sampai saja aku order lah sepinggan dan teh tarik secawan. Istimewanya mereka tolong kopek kan untuk aku udangnya siap kerana mereka tau tangan aku hanya sebelah saja.

Aku makanlah sebab perut dah lapar tak makan sejak tengahari tu lagi. Selesai makan isteri dan anak aku tak sampai lagi. Tak lama selepas tu mereka pun sampai. Mereka tergamam kerana nampak aku hanya ada sebelah tangan saja. Sebaik masuk saja kereta mereka tanya apa sebabnya. Aku terangkan apa yang terjadi. Isteriku marah mengapa tak bagitau awal2. Memang aku tak nak bagitau awal sebab tak mau dia susah hati. Lagipun kecederaan tu tak sampai patah atau apa, jadi taknak lah dia risau.

Kalau teruk kecederaanku mungkin aku dah masuk wad.  Tapi nasib baiklah aku berpaut pada bay tu semasa jatuh. Kalau aku jatuh ketanah mungkin kakiku patah takpun kepadaku terhantuk pada tebing lori yang mungkin kepalaku pecah. Nauzubillah.

Syukur kehadrat illahi kerana aku selamat dengan kehendak Allah.




Hari ni aku nak ber"blog" lah pulak.

Aku boring sangat2 lah... aku baru saja lepas edah..hehe...aku bercuti dari bekerja selama 6 bulan. Dalam tempoh tu aku hidup tanpa gaji sebenarnya. Tapi yang tak bergaji tu tak la sampai 6 bulan. Adala 3 bulan selepas aku kecederaan je. Sebelum tu aku dapat cuti bergaji. Dan ditambah pulak duit Socso. Bolehlah aku hidup dan membiayai beberapa perkara termasuk lah menghantar anak aku pergi balik masuk ke pulau (sebab dia kerja kat bahagian pulau).

Dua bulan selepas dia aku kecederaan dia dapat kerja di situ. Tugas akulah menghantar dia pergi dan balik. Tempat tu baru bukak dan baru nak beroperassi, minggu pertama tu dia kerja dari 9.30 pagi sampailah 10.30 malam. Maklumlah pembukaannya kira2 seminggu lebih je.  Dalam pada aku sakit di bahagian bahu tu aku gagahkan jugak menghantar dia pergi kerja dan menjemput dia balik kerja.

Belanja motor dengan minyak RM5 dan  tol RM2.80 sehari. Sakit dibahuku ku tahankan jua supaya aku dapat aku tengok anak aku bekerja  dan dia dapat merasa gaji dari hasil titik peluhnya.

Aku masih bercuti. Aku terfikir pulak, kalau aku bekerja nanti macamana. Sebab anak aku masuk kerja pagi  pukul 9.30 pagi dan balik 7.30  malam. Kalau kerja petang pulak masuk pukul 12.30 tengahari baliknya pukul 10.30 malam. Aku bayangkan ada tak syarikat yang nak ambil aku bekerja kalau masuk kerja pukul 10.30 selepas hantar anak kerja pagi atau masuk pukul 1.30 kalau dia kerja petang.

Akhirnya aku ambil keputusan hantar notis bekerja seiring dengan tarikh akhir cuti sakitku kira2 3 bulan selepas aku kecederaan. Sedangkan aku belum pulih lagi. Nak masak air pun, angkat cerek berisi air pun masih tak larat. Sedangkan syarikat dah bising hantar SMS tanya aku mengapa tak datang kerja sebab tempoh aku cuti sakit ikut undang2 syarikat ialah 60 hari. Sekarang cuti sakitku dah lebih dari 60 hari. Terfikir lak kat aku apa tak laku ke sijil cuti sakit yang diberikan oleh hospital kerajaan. Sebab tak mau kecoh dan tak mau dia menyalahlan aku sebab dia nak cari pengganti baru lebih baiklah aku hantar notis berhenti kerja. Dalam hatiku rezeki Allah ada dimana-mana. Sejak dari itulah aku tak bekeeeeerja dengan syarikat dan baki gaji aku pun hanya bertahan untuk tempoh tak berapa lama lagi.

Nasib baiklah anak aku dah dapat gaji. Dialah yang membantu serba sedikit keperluan rumah termasuk duit minyak motor dan duit tol. Tapi aku tak boleh bergantung sangat harapan pada dia. Dia pun bakal ada kehidupan dia sendiri nanti. Dia perlu jugak untuk membayar balik duit PTPTNnya. Di samping menabung untuk membeli keperluan seperti barangan peribadi dia dan juga mungkin sebuah kerta atau sebuah rumah.